BUKAN hasil segera, namun jurulatih baharu perseorangan remaja lelaki negara, Yeoh Kay Bin menegaskan Malaysia tidak boleh berlengah dalam membangun semula pemain bagi merapatkan jurang dengan kuasa besar dunia.
Bekas jurulatih Lee Zii Jia itu berkata, kelewatan memulakan proses pembangunan hanya akan melebarkan jurang prestasi sekali gus menjejaskan kesinambungan pemain ke peringkat senior.
“Memang mencabar, tetapi kita kena mula sekarang. Kalau kita tangguh, kita akan terus ketinggalan. Keputusan mungkin bukan sekarang, tetapi masa depan bergantung kepada apa yang kita buat hari ini,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Kay Bin sudahpun dua hari bertugas, antara tiga jurulatih baharu yang dilantik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam penstrukturan semula kejurulatihan dengan fokus kepada pembangunan akar umbi menerusi program Pencarian dan Pembangunan Bakat (TID).
“Kita tidak boleh harap hasil dalam satu atau dua tahun. Kalau asas tidak betul dari awal, susah nak pastikan peralihan mereka ke tahap senior nanti,” katanya yang berpengalaman melatih di dalam dan luar negara termasuk China.

Kay Bin yang memulakan tugasnya semalam berkata, fokus awal adalah membuat penilaian menyeluruh bagi memahami karakter serta cara pemikiran pemain terhadap badminton.
“Kita belum sampai tahap untuk menyingkirkan atau memilih pemain tertentu. Ini fasa penilaian dan pembentukan,” katanya sambil membimbing 18 pemain berusia 15 hingga 18 tahun bersama Alvin Chew dan Goh Giap Chin.
Kebanyakan pemain baru dibawa masuk dalam pencarian bakat beberapa bulan lalu.