Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Zafrul Aziz menegaskan Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meskipun pasangan itu sekali lagi terpaksa berpuas hati muncul naib juara di kejohanan All England Open Badminton Championships.

Hasrat pasangan nombor dua dunia itu untuk menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan berprestij berkenaan pada percubaan ketiga tidak kesampaian selepas tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dalam aksi final di Arena Birmingham.

Dalam perlawanan tersebut, Aaron-Wooi Yik tewas dalam pertarungan tiga set 21-18, 12-21, 19-21 sekali gus menyaksikan mereka sekali lagi terlepas peluang menjulang trofi selepas turut muncul naib juara pada edisi 2019 dan 2024.

Sementara itu, kemenangan tersebut membolehkan pasangan Korea Selatan berkenaan meraih gelaran kedua berturut-turut di kejohanan badminton tertua dunia yang mula dipertandingkan sejak 1899 itu.

Mengulas pencapaian beregu negara itu, Tengku Zafrul berkata perjalanan Aaron-Wooi Yik di kejohanan tersebut tetap wajar dibanggakan kerana berjaya mengekalkan konsistensi di pentas tertinggi dunia.

“Tiga kali ke final, tiga kali hampir juara. Aaron-Wooi Yik sekali lagi memberi saingan hebat di pentas Seluruh England, antara kejohanan badminton paling berprestij di dunia sejak 1899.

“Sejak 2019, mereka sudah tiga kali mara ke final. Bukan mudah untuk kekal konsisten di tahap ini. Ramai pemain hebat dunia pun tidak pernah sampai walau sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menegaskan bahawa meskipun gelaran masih belum menjadi milik pasangan negara itu, perjalanan mereka dalam arena badminton antarabangsa masih panjang.

“Hari ini mungkin belum rezeki, tetapi perjalanan mereka masih panjang. Teruskan percaya, teruskan berjuang. Malaysia tetap bangga,” katanya.