BEREGU campuran baharu negara, Jimmy Wong dan Cheng Su Yin mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan pasangan nombor satu dunia dari China pada aksi pusingan pertama Terbuka Singapura 2026, hari ini.

Gandingan negara itu mempamerkan aksi penuh yakin untuk menewaskan Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping menerusi kemenangan straight set 23-21, 21-16 dalam tempoh 43 minit.

Kemenangan tersebut sekali gus memastikan pasangan baharu negara itu mara ke pusingan seterusnya dengan penuh bergaya.

Walaupun baru digandingkan, Jimmy dan Su Yin jelas mempamerkan persefahaman cukup baik apabila berjaya mengawal tekanan menentang pasangan pilihan kejohanan itu.

Set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum wakil negara berjaya menyerap tekanan pada penghujung permainan untuk menang 23-21.

Momentum tersebut diteruskan dalam set kedua apabila Jimmy-Su Yin tampil lebih agresif dan konsisten sehingga berjaya menjarakkan kedudukan sebelum menamatkan kemenangan 21-16.

Kepulangan semula Jimmy ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat mula memberikan impak positif selepas berjaya membentuk kombinasi mantap bersama Su Yin.

Sebelum ini, Jimmy pernah bergandingan bersama Lai Pei Jing ketika bergelar pemain profesional dan beberapa kali hampir meraih gelaran juara termasuk muncul naib juara Terbuka Macau Super 300.

Kemenangan ke atas pasangan nombor satu dunia itu pastinya menjadi suntikan keyakinan besar buat Jimmy dan Su Yin dalam usaha membina reputasi sebagai gandingan baharu negara di pentas antarabangsa.