SELEPAS hampir tiga tahun meninggalkan arena bola sepak negara, Tan Cheng Hoe kini kembali memikul amanah besar apabila diumumkan secara rasmi sebagai Pengarah Teknikal Harimau Malaya. Kepulangan figura yang pernah membawa Malaysia ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018 ini disahkan oleh Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub dalam satu majlis sambutan Aidilfitri anjuran badan induk bola sepak negara itu.

Kehadiran semula Cheng Hoe bukan lagi rahsia sejak kelibatnya mula dilihat bersama skuad kebangsaan sebelum ini. Namun, spekulasi mengenai jawatan spesifik akhirnya terjawab dengan pengesahan rasmi FAM hari ini.

Untuk rekod, jurulatih kelahiran Kedah itu pernah mengemudi Harimau Malaya dari 2018 hingga 2022, dan meninggalkan impak besar dalam tempoh tersebut apabila berjaya membawa skuad negara ke pentas akhir Piala AFF 2018. Meskipun jodohnya bersama Harimau Malaya terhenti selepas kegagalan dalam kempen Piala AFF 2020, beliau terus menambah pengalaman di Selangor dan kelab Thailand, Police Tero.

Kini, dengan wajah yang lebih matang dan pengalaman yang lebih luas, Tan Cheng Hoe kembali bukan sebagai ketua jurulatih, tetapi sebagai watak penting di belakang tabir pembangunan teknikal pasukan kebangsaan.

Peranan beliau pastinya akan memberi nilai tambah besar kepada hala tuju dan falsafah permainan Harimau Malaya menjelang aksi penting bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun nanti.

Kembalinya Cheng Hoe ke pangkuan Harimau Malaya ibarat ‘menyulam semula kisah yang terputus’. Kini tugas lebih besar menanti – bukan sekadar merancang taktikal, tetapi mencorak masa depan bola sepak negara dari kerusi pengarah teknikal. Satu tugasan besar, namun hadir dalam masa yang tepat.