TIADA pemain akan mendapat keistimewaan dalam pemilihan menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan.
Pengendali baharu skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan bahawa hanya pemain yang berjaya memikat hatinya dengan prestasi cemerlang akan mendapat tempat dalam pasukan, termasuk pemain warisan atau naturalisasi.
“Saya amat berbangga dapat menjadi pengendali Malaysia dan saya melihat kita sudah memiliki asas yang kukuh.
Namun, ada beberapa aspek yang perlu ditingkatkan untuk membawa pasukan ini ke tahap yang lebih baik,” kata Cklamovski selepas pelancaran jersi baharu Harimau Malaya.
Menurutnya, setiap pemain akan diberi peluang sama rata tanpa mengira pengalaman atau usia.
“Apa yang penting ialah keupayaan di atas padang. Jika anda membuktikan kemampuan, anda layak dipanggil.
“Saya mahu pemain yang dipilih berjuang dengan sepenuh jiwa untuk menghiburkan penyokong kita,” katanya.

Para pemain mengenakan jersi baharu Harimau Malaya jenama PUMA.
Pelantikan Cklamovski, warga Australia yang berpengalaman luas dalam kejurulatihan termasuk sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Australia dan jurulatih kelab Liga Jepun, adalah sebahagian daripada usaha Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, untuk melonjakkan prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.
Dengan sasaran utama memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027, Cklamovski menyeru semua pihak agar bersikap realistik dan tidak memberi tekanan berlebihan kepada skuad kendaliannya.
“Kejayaan menuntut kerja keras dan kesabaran. Kita boleh bermimpi besar, tetapi mesti tetap merendah diri dan bekerja keras untuk mencapai sasaran tersebut,” tambahnya.
Tugasan pertama Cklamovski adalah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan, dengan Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos, dan Nepal.