SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan bakal menghadapi ujian sebenar dan akan menampilkan barisan terbaik apabila berhadapan Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia AFC B-23 2024 di Stadium Chonburi, Thailand pada Selasa.
Pengurus pasukan Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pasukan mempunyai peluang melakukan penggiliran pemain dalam dua perlawanan sebelum ini ketika menentang Bangladesh dan Filipina untuk memberikan masa rehat yang lebih buat para pemain untuk menghadapi Thailand.
“Kita sebenarnya boleh menjaringkan lebih gol ketika menentang Filipina tetapi kita tahu aksi bertemu Thailand adalah yang paling penting jadi kita putuskan untuk merehatkan beberapa pemain utama.
“Kita mempunyai mata yang sama dengan Thailand tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan. Mereka adalah pasukan yang baik di setiap bahagian tetapi saya kekal optimis yang para pemain bakal memberikan cabaran hebat,” katanya.
Shahril juga tahu apa yang menanti kepada pemenang perlawanan ini dan dia tidak mahu Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dan mahu layak secara automatik ke Qatar sebagai juara kumpulan.
“Kita telah melakukan pengiraan, sekiranya kita seri, kedua-dua pasukan dilihat akan layak ke pusingan akhir tetapi kita tetap mahu menduduki tangga teratas,” jelasnya.
Sementara itu pemain pertahanan, V. Ruventhiran mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya memberikan 100 peratus dalam aksi ini kerana mereka mahu memberikan kemenangan ini kepada penyokong Malaysia yang sentiasa berada di belakang mereka.
“Thailand adalah pasukan yang besar tetapi saya mempunyai pengalaman berada dalam pasukan yang tewaskan mereka di Piala AFF. Penting untuk kekal konsisten dan kami berjaya kekalkan ‘clean sheets’ dalam dua perlawanan tetapi masih belum cukup baik dan kami perlu beraksi lebih jika hendak menang.
“Kami juga sedar penyokong Malaysia sangat fanatik yang mahu kami menang dan kami akan lakukan segalanya untuk mencapai kemenangan dan teruskan sokongan anda kepada kami,” katanya.
Penyerang yang mencipta nama di Piala AFF B-23 baru-baru ini, Arif Ikmalrizal juga mahu menyerap tekanan sebagai penyerang dan mahu memberikan aksi terbaik jika diturunkan bagi membantu skuad Harimau Malaya layak ke peringkat seterusnya.
“Semua pemain tidak cedera dan boleh beri 100 peratus untuk perlawanan esok. Tekanan sebagai penyerang itu perkara biasa dan saya harap dapat berikan sesuatu jika diberikan peluang bermain oleh jurulatih dan buat para penyokong teruskan sokongan anda buat kami,” jelasnya.
Malaysia memerlukan kemenangan untuk layak ke pusingan akhir di Qatar yang turut menawarkan tiga slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan sudah pasti barisan kejurulatihan sudah mempunyai rancangan untuk mengecewakan tuan rumah di hadapan penyokong mereka sendiri.