KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) meluahkan rasa kecewa terhadap kesilapan teknikal yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hingga menyebabkan tiga pemain utamanya digantung sementara oleh FIFA.

Tiga pemain berkenaan, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal kini tidak dapat diturunkan selepas didakwa terbabit dalam isu pemalsuan dokumen ketika proses pendaftaran untuk mewakili Malaysia.

Situasi ini sekali gus memberi tamparan besar buat Harimau Selatan menjelang pertemuan penting menentang Machida Zelvia dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) malam ini.

FAM sebelum ini menjelaskan wujud kesilapan teknikal semasa penyerahan dokumen kepada FIFA dan sudah mengemukakan rayuan, namun keputusan muktamad masih ditunggu. Selain tiga pemain JDT itu, empat lagi tonggak negara, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero yang turut berdepan penggantungan sama.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, dalam kenyataannya pada Selasa menegaskan kelab kecewa dengan insiden ini dan berharap ia dapat diselesaikan segera agar pemain terbabit dapat kembali beraksi bersama pasukan.

“JDT kecewa oleh kerana kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan Malaysia yang beraksi bersama JDT. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan para pemain dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” ujar Garcia.

Dengan krisis ini, JDT terpaksa bergantung kepada barisan pemain lain untuk mengisi kekosongan tiga tonggak utama, sekali gus menguji ketahanan skuad Xisco Muñoz dalam pentas elit Asia.