PRESTASI pemain badminton negara sepanjang lima hari Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 sehingga Sabtu, menampakkan kemajuan namun semua menghadapi masalah kekuatan mental untuk menjadi pencabar terbilang.
Dalam memuji, wujud nada tidak senang disuarakan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Jurulatih dari Indonesia itu mengakui ada kelebihan ditonjolkan pemain malah wujud juga kelemahan yang ketara pada anak-anak buahnya sepanjang kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.
Meskipun pemain seperti beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei layak ke separuh akhir, namun dua gandingan ini masih gagal keluar dari masalah keyakinan diri.
Beliau berkata, dua gandingan itu masih menunjukkan sikap ragu-ragu di gelanggang terutamanya ketika mendahului, lalu menguntungkan pihak lawan yang mudah memintas.
“Seperti saya katakan, memang kita mengharapkan hasil yang baik kerana Chen (Tang Jie) dan Toh (Ee Wei) sejak Jelajah Dunia Akhir hingga ke Terbuka Malaysia bermain cukup baik tetapi belum sampai tahap untuk memenangi gelaran.
“Saya harap semua pemain sedar kerana saya tidak nampak mereka ada kemahuan walaupun sudah mendahului perlawanan. Saya tidak harapkan mereka untuk dapat mata yang banyak tetapi sekurang-kurangnya ia beri kelebihan dari segi psikologi,” katanya mengulas prestasi pemain beregu campuran negara.

Pada aksi separuh akhir kelmarin, Tang Jie-Ee Wei dan Wei Chong-Kai Wun memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila mendahului dalam setiap set, namun hilang kelebihan itu menerusi kesilapan-kesilapan yang tidak seharusnya berlaku.
Akibatnya, kedua-dua beregu itu kempunan melangkah ke final apabila Tang Jie-Ee Wei tewas 19-21, 14-21 kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping manakala Wei Chong-Kai Wun kalah 26-24, 16-21, 15-21 kepada Chen Bo Yang-Liu Yi juga dari China.
Selain Tang Jie-Ee Wei dan Wei Chong-Kai Wun, beberapa pemain kebangsaan yang lain disifatkan mengharungi aksi mengecewakan apabila tersingkir seawal pusingan pertama dan kedua termasuk beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) serta Leong Jun Hao (perseorangan lelaki).
“Kita mahu pemain menunjukkan respons selepas ini kerana kita mahu ia melibatkan kedua-dua belah pihak (jurulatih dan pemain). Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik memang berada di bawah paras yang kita harapkan.
“Sementara itu, kita boleh nampak Jun Hao mahu buktikan sesuatu dengan kehadiran Kenneth (Jonassen). Dia cuba tampilkan aksi terbaik hingga menekan diri, dan belum berjaya mencapai apa yang dimahukan,” ujar Rexy.