PEMAIN badminton perseorangan negara, Leong Jun Hao mengakui kekalahan mengejut di pusingan pertama Malaysia Masters 2025 kepada pemain Ireland, Nat Nguyen bukanlah keputusan yang diinginkan, namun tetap bersyukur dapat menamatkan aksi di Axiata Arena selepas baru pulih daripada kecederaan tangan kanan.
Jun Hao tewas dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-18, 9-21, dan jelas bergelut apabila Nguyen menukar strategi permainan selepas set pertama, menyebabkan rentaknya terganggu.
“Dia ubah cara bermain di set kedua dan ketiga lebih agresif, dan itu buat saya rasa kurang selesa. Tapi saya tetap cuba habis sebaik mungkin.

Jun Hao tewas dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-18, 9-21, terhadap Nat Nguyen pusingan pertama Malaysia Masters 2025.FOTO|ASIANA.MY
“Saya baru pulih, jadi dapat main sampai habis pun dah cukup baik bagi saya. Kalau keadaan saya tak mengizinkan, mungkin saya langsung tak boleh beraksi,” katanya jujur.
Jun Hao sebelum ini menarik diri daripada Thailand Open bagi memberi ruang kepada pemulihan kecederaan, dan berkata beliau akan memantau tahap kesihatan sebelum membuat keputusan sama ada akan menyertai Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Jun Hao tewas dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-18, 9-21, terhadap Nat Nguyen pusingan pertama Malaysia Masters 2025. FOTO|ASIANA.MY
“Saya masih rancang nak teruskan ke Singapura dan Indonesia, tapi tengok dulu macam mana keadaan saya dalam beberapa hari ini. Saya tak anggap kekalahan ini berpunca daripada kecederaan semata-mata,” jelasnya.
Mengulas perkembangan di bawah kendalian jurulatih baharu, Kenneth Jonassen, Jun Hao mengakui terdapat perubahan positif dalam pendekatan latihan dan corak pemikiran yang cuba diterapkan.
“Memang ambil masa untuk sesuaikan diri dengan corak dan mindset yang dibawa Coach Kenneth. Tapi saya nampak beberapa tanda positif dalam permainan saya. Pendekatan latihan pun dah berbeza sekarang, dan kami sedang cuba masukkan elemen itu dalam perlawanan,” ujarnya.

Jun Hao tewas dalam pertarungan tiga set 10-21, 21-18, 9-21, terhadap Nat Nguyen pusingan pertama Malaysia Masters 2025. FOTO|ASIANA.MY
Walaupun tersingkir awal, Jun Hao tetap memilih untuk melihat sisi positif dalam kekalahan ini sebagai proses penyesuaian, pemulihan, dan pengukuhan semula mentaliti kompetitif menjelang kejohanan-kejohanan penting yang masih berbaki.