INPUT berharga daripada juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi azimat kemenangan buat beregu muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing apabila bangkit mengejutkan pasangan Denmark pada pusingan pertama Perodua Malaysia Masters.
Gandingan ranking ke-58 dunia itu mempamerkan aksi matang untuk menundukkan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer yang juga finalis Terbuka Thailand minggu lalu, dengan keputusan 12-21, 21-11, 21-17 dalam masa 48 minit.
Menurut Khai Xing, dia dan pasangannya sempat ‘menuntut ilmu’ daripada Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini menewaskan pasangan sama di pentas final Masters Thailand minggu lalu, sekali gus memberi kelebihan dari segi taktikal.
“Kami ada minta nasihat sikit sebelum game… mereka kongsi beberapa tip macam mana nak baca arah bulu tangkis lawan,” katanya, ketika ditemui selepas tamat aksi di Axiata Arena.
Mengulas perlawanan, Khai Xing mengakui mereka bermula perlahan dan terlalu santai di set pertama, yang menyebabkan banyak bola lawan gagal dibalas.
“Jurulatih minta kami ubah rentak di set kedua. Jadi kami cuba lebih agresif dan pastikan kekal momentum sampai set ketiga,” jelasnya lagi.
Namun cabaran lebih getir menanti mereka di pusingan kedua esok apabila dijadual menentang pilihan ketujuh kejohanan, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark.
“Kami tak nak fikir banyak. Fokus nak kekalkan rentak dan main untuk semua yang datang sokong kami di stadium,” kata Khai Xing penuh semangat.