STATUS juara bertahan bukan lesen untuk leka apabila skuad hoki negara turun berdepan Singapura dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 hari ini, dengan ketua jurulatih, Sarjit Singh mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah cabaran jiran serantau itu meskipun pernah mencatat kemenangan besar di peringkat kumpulan.

Menurut Sarjit, perlawanan separuh akhir menuntut mentaliti berbeza dan disiplin yang lebih tinggi kerana apa sahaja boleh berlaku dalam aksi penentuan ke final.

“Kita pernah bertemu Singapura sebelum ini dan menang 6-0. Tetapi perlawanan ini perlu dipandang serius kerana kita hadir untuk menang dan layak ke final,” katanya sambil menegaskan pasukannya perlu kekal fokus sepanjang permainan.

Beliau turut menggesa pemain agar lebih tajam di hadapan gol serta bijak memanfaatkan peluang yang dicipta, selain mengekalkan struktur permainan yang kemas.

“Untuk aksi separuh akhir ini, kita mahu pemain terus memberikan persembahan terbaik dan bergerak dalam sudut yang betul, selain pemain harus mencipta peluang untuk menjaringkan gol,” ujar Sarjit.

Speedy Tigers mara ke separuh akhir dengan rekod cemerlang selepas menyapu bersih empat perlawanan peringkat kumpulan, membelasah Myanmar 21-1, menewaskan Indonesia 6-2, Singapura 6-0 dan Thailand 6-2, sekali gus menampilkan dominasi jelas sepanjang kempen awal.

Namun Sarjit percaya keputusan lalu tidak lagi relevan apabila memasuki fasa kalah mati yang menuntut ketahanan mental dan ketajaman taktikal.

Sekiranya Malaysia berjaya melepasi halangan Singapura, mereka bakal berdepan sama ada tuan rumah Thailand atau Indonesia di pentas final, dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2023 di Vietnam, apabila Speedy Tigers menewaskan Singapura 3-0 pada perlawanan akhir.