TAHNIAH diucap kepada Datuk Razif Sidek yang baru-baru ini dilantik menjadi naib presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (PBKL) dan seterusnya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan badan induk negeri itu.
Ia adalah suatu perkembangan sihat dalam memastikan kepakaran bekas legenda itu dapat digunakan untuk membantu pembangunan dan kemajuan badminton.
Kalau sebelum ini ramai bekas pemain negara yang mengecam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan anggota gabungannya yang majoritinya dikendalikan oleh muka-muka sama yang sudah lama di situ, tindakan PBKL sangat dialu-alukan.
Setidak-tidaknya pengalaman dan input daripada bekas pemain seperti Razif ini dapat menyuntik kesegaran dalam mendapatkan idea atau memperkenalkan pendekatan di luar kotak untuk meningkat badminton Kuala Lumpur khususnya dan negara amnya.
Kesanggupan Razif, bekas ketua jurulatih negara pada akhir 1994 hingga 1996, untuk menerima pelantikan daripada PBKL sememangnya harus dipuji kerana sanggup bermula dari bawah iaitu di peringkat anggota gabungan terlebih dahulu.
Ini sebenarnya tindakan yang betul dalam usaha menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang pentadbiran andainya memegang impian untuk ke peringkat seterusnya di peringkat kebangsaan iaitu BAM pada masa akan datang.
Sebelum ini, acap kali kita mendengar kecaman khususnya daripada bekas-bekas pemain yang menuntut barisan kepimpinan BAM berundur setiap kali skuad negara gagal di pentas antarabangsa, namun tidak memberikan solusi dalam mengatasi prestasi yang merudum.
Andai bekas-bekas pemain menganggap sistem yang ada pada persatuan adalah pincang, alangkah baiknya untuk mereka masuk ke dalam sistem sedia ada dan memperbaikinya kerana cakap-cakap di luar sistem tidak akan membantu perkembangan badminton negara.
Bekas-bekas pemain ini juga perlu sedar barisan kepimpinan persatuan di peringkat kebangsaan atau negeri melalui proses pemilihan masing-masing sebelum dapat menjawat jawatan mereka, kecuali bagi posisi lantikan.
Jadi, jika mereka benar-benar mahu membantu atau melibatkan diri dalam berpersatuan, seharusnya mereka berjinak-jinak dengan persatuan dan menawarkan diri untuk bertanding. Jika bernasib baik, peluang tetap ada menerusi jawatan lantikan
Ini sudah dilakukan oleh bekas pemain, A’amar Hashim yang kini merupakan Presiden Persatuan Badminton Perlis dan terbaru Razif.
Pokoknya, bekas-bekas pemain ini janganlah mengharapkan pihak persatuan membentangkan karpet merah untuk mereka, sebaliknya berjinak-jinak dengan persatuan negeri sebelum menawarkan diri.