PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh akhirnya menamatkan kemarau ke separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia, selepas menjinakkan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen di Terbuka Macau 2025.

Beraksi cemerlang di Macao East Asian Games Dome, pemain ranking ke-45 dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk menumbangkan Kantaphon 21-9, 21-18 sekali gus melunaskan dendam kekalahan di Masters Korea tahun lalu.

Kejayaan itu meletakkan Justin dalam kelompok empat terbaik Terbuka Macau buat julung kali dan menjadi pencapaian tertinggi sepanjang karier seniornya setakat ini.

Sebelum ini, anak didik Kenneth Jonassen itu hanya pernah mara sehingga suku akhir dalam kejohanan Super 300, termasuk di Terbuka Taiwan tahun ini dan edisi 2024.

Esok, Justin bakal berdepan cabaran dari India, Tharun Mannepalli dalam misi memburu tiket final, dengan kedua-dua pemain ketika ini terikat 1-1 dalam rekod pertemuan.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan sebagai pilihan utama kejohanan.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga mara ke separuh akhir selepas mengatasi ujian getir menewaskan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 21-17, 22-20 dalam aksi 34 minit.

Mereka akan berdepan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje esok.