BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, mengakui masih mencari formula terbaik untuk menewaskan dua gandingan utama China menjelang misi besar memburu gelaran di Kejohanan Dunia hujung bulan ini.

Menurut Thinaah, pasangan Liu Sheng Shu-Tan Ning serta Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sering menjadi penghalang utama dan memberi tekanan hebat setiap kali berentap di gelanggang.

“Kami banyak belajar daripada kekalahan lalu, terutama cara mereka mengawal permainan dan memberi tekanan (kepqda lawan), itu yang kami cuba perbaiki sebelum ke Paris,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Mengakui kejayaan bergelar beregu nombor dua dunia memberi suntikan semangat, namun Thinaah menegaskan kedudukan itu bukan jaminan mudah untuk meraih gelaran dunia.

M Thinaah yakin keserasian bersama Pearly Tan boleh menjadi kunci runtuhkan Tembok Besar China.

“Kami tak terlalu fikir soal ranking atau ‘seeding’, sebab dalam beregu wanita banyak pasangan kuat yang boleh beri saingan sengit,” ujarnya.

Justeru, fokus utama mereka kini adalah kekal konsisten dan saling menyokong di gelanggang agar dapat memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Pearly-Thinaah kini dalam landasan tepat untuk memuncak di Paris 25 hingga 31 Ogos, selepas menyingkirkan beberapa gandingan utama dunia sejak bulan lalu, termasuk mara ke separuh akhir Terbuka China sekali gus melonjak ke ranking kedua dunia, pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh lebih sedekad.