MESKIPUN undian Terbuka Malaysia telah dikeluarkan, Anna Cheong dan gandingannya Teoh Mei Xing, belum pasti dapat beraksi selagi ‘lampu hijau’ belum di berikan barisan kejurulatihan.
Ini berikutan tahap kecederaan Anna, yang sebelum ini terpaksa berehat selama setahun selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) lutut kanannya, masih dalam pemantauan.
Kecederaan itu mememaksa Anna menjalani pembedahan pada September tahun lalu.
Dia kembali ke gelanggang bersama Mei Xing pada Ogos lalu, sebelum kembali dibelenggu kecederaan lutut ketika saingan Masters Kumamoto di Jepun, bulan lalu.
Anna mengakui sudah bersedia selepas menjalani proses pemulihan, tetapi tetap menunggu keputusan daripada barisan kejurulatihan.
“Saya percaya kalau saya betul-betul sudah cergas sepenuhnya, jurulatih akan bagi lampu hijau untuk saya bermain.
“Kalau tidak, saya memang tidak akan main. Saya tidak mahu nanti apabila bermain tetapi kena tarik diri ketika permainan, itu tidak bagus.
“Buat masa sekarang, kita buat penilaian terhadap perkembangan proses pemulihan saya setiap hari. Keputusan terakhir nanti kita akan buat apabila menghampiri hari kejohanan nanti,” katanya, ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.

Lutut kanan Anna masih perlu dibalut sebagai sokongan pergerakan, dalam latihan.
Berdasarkan undian Terbuka Malaysia, Anna-Mei Xing berdepan ujian getir apabila memulakan cabaran menentang pasangan nombor dua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Soo Hee di pusingan pertama.
“Undian kali ini memang sukar kerana ini adalah kejohanan Super 1000. Jadi, apa kami boleh lakukan adalah berjuang habis-habisan dan cuba yang terbaik,” katanya.