PENGENDALI Young Tigers, Nor Saiful Zaini menyifatkan kekalahan Malaysia kepada Belanda dalam aksi kedua Piala Dunia Hoki Remaja 2025 sebagai satu pengajaran yang baik buat pemainnya.

Bagi Nor Saiful, corak permainan Eropah lebih berbeza berbanding Asia, sekaligus ia menjadi penghalang bagi pasukannya untuk mencipta kejutan dalam perlawanan.

“Kita tahu Belanda merupakan pasukan yang kuat jadi kami cuba untuk memerangkap mereka namun pasukan lawan menggunakan kelebihan fizikal untuk menghukum pasukan kita.

Dua pemain Young Tigers cuba untuk mengepung pemain Belanda.

“Kita juga sebenarnya berjaya untuk mencipta beberapa peluang yang baik untuk menjaringkan gol namun berjaya disekat oleh penjaga gawang pasukan lawan.

“Ini adalah keupayaan mereka (Belanda) jadi kita perlu berkerja keras untuk mencapai tahap yang sama seperti pasukan sebegini,” katanya selepas perlawanan.

Aksi kedua Malaysia dalam Piala Dunia Hoki Remaja 2025 menyaksikan Young Tigers tumpas 0-6 kepada Belanda di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai malam tadi.

Gol Belanda berjaya dijaringkan oleh Casper Van De Veen (9′ dan 10′), Joppe Wolbert (20′ dan 21′), Thies Bakker (28′) dan Tjeerd Boermans pada minit ke-42.

Malaysia akan bertemu England dalam aksi terakhir kumpulan E pada Selasa ini, jam 8.15 malam di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai.