SKUAD hoki dalam dewan wanita negara kini tampil dengan keyakinan tinggi untuk memburu emas Sukan SEA Thailand, hasil persiapan rapi yang bermula sejak Ogos lalu.
Kapten pasukan, Raja Norsharina Raja Shabuddin berkata, tempoh latihan panjang memberi kelebihan besar kerana pasukan kini memiliki keserasian dan taktikal lebih mantap berbanding edisi Phnom Penh 2023.
“Kali ini kami lebih bersedia, kami dah mula latihan awal sejak bulan lapan dan semua pemain beri komitmen penuh,” katanya yang mengetuai skuad yang tewas kepada Thailand dalam penentuan penalti pada final edisi lalu.
Menurutnya, kekalahan tipis itu menjadi pembakar semangat untuk pasukan menebus kekecewaan dan buktikan kemampuan sebenar wanita Malaysia di pentas serantau.

Kapten pasukan, Raja Norsharina Raja Shabuddin yakin persediaan rapi kali ini mampu menghadirkan peluang lebih baik buat skuad wanita.
“Kalau tengok kemampuan kami sekarang, memang ada potensi besar raih emas, cuma kami perlu pastikan persiapan teknikal dan taktikal benar-benar sempurna,” katanya, sambil mengakui Majlis Sukan Negara (MNS) meletakkan sasaran podium lepada skuad itu.
Raja Norsharina mengakui Thailand yang menamatkan saingan Piala Dunia di kedudukan kelapan, Februari lalu kekal pencabar utama, selain Indonesia yang semakin meningkat, namun percaya Malaysia mampu menyaingi kedua-duanya jika konsisten hingga ke perlawanan akhir.
Beliau berkata skuad negara juga sudah berdepan Ireland dalam aksi persahabatan sebelum ini dan bakal mengatur lebih banyak perlawanan pemanas badan menjelang Bangkok.
Pertemuan terakhir Malaysia-Thailand di separuh akhir Piala Asia juga menyaksikan skuad negara hanya tewas dengan perbezaan 1 gol (1-2).