BEKAS kapten hoki negara, S.Kuhan dilantik sebagai penasihat pukulan sudut penalti untuk skuad hoki kebangsaan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Kuhan dilantik secara sambilan bagi membantu skuad kebangsaan.

“Kuhan akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Ahmad Najmi Razak membantu menyelesaikan isu sudut penalti  yang dihadapi oleh Malaysia.

“Sebagai bekas pakar pukulan sudut penalti untuk Malaysia, Kuhan telah bersetuju untuk turut serta membantu bukan sahaja pasukan kebangsaan lelaki dan wanita tetapi juga pemain junior kami,”  katanya pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM, Ahad.

Subahan Kamal

Berdasarkan statistik FIH, pasukan A. Arul Selvaraj hanya menjaringkan tiga gol berbanding 29 pukulan sudut penalti yang diberikan untuk Malaysia sepanjang enam perlawanan yang mereka hadapi dalam kejohanan itu.

Malaysia menewaskan Jepun 3-2 pada perlawanan kelayakan ke-13-16 untuk mengesahkan tempat ke-13 dalam Piala Dunia 2023, dua tempat lebih baik daripada tempat ke-15 yang mereka perolehi pada edisi 2018, juga di India.

Dalam pada itu, Subahan menafikan dakwaan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KHM Norfaraha Hashim telah meletak jawatan.

Tegasnya, KHM memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak Norfaraha yang telah berakhir penghujung tahun lalu.

“KHM akan mengumumkan CEO baharu dalam masa terdekat yang akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja mencari dana buat MHC, malah akan membantu dalam melancarkan penganjuran Piala Dunia Hoki Remaja hujung tahun ini,” katanya yang  berterima kasih kepada Norfaraha kerana komitmen diberikan.