PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap kewujudan Kelantan Red Warrior (KRW), sebuah pasukan bola sepak baharu yang diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.

Dalam kandungan surat yang dimuatkan KRW di Facebook rasmi, kelab itu melahirkan rasa syukur dan penghargaan yang tidak terhingga kepada KAFA atas sokongan yang diberikan.

“Alhamdulillah syukur, kami Kelantan Red Warrior (KRW) mengucapkan jutaan terima kasih kepada KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) kerana menyokong penuh penubuhan kelab ini,” menurut hantaran itu di media sosial pada Selasa.

KRW turut menekankan harapan agar kerjasama dan hubungan baik antara kedua-dua pihak dapat terus terjalin erat demi kebaikan dan kemajuan bola sepak Kelantan.

Hubungan strategik ini dijangka membawa sinergi baharu kepada pembangunan bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Dalam pada itu, KAFA menyatakan komitmen untuk terus menyokong inisiatif yang memacu perkembangan bola sepak di peringkat negeri dan akar umbi. Sokongan ini mencerminkan keprihatinan persatuan dalam memastikan bola sepak Kelantan kekal relevan dan berdaya saing di arena tempatan dan antarabangsa.

Kelantan Red Warrior (KRW) mengakhiri kenyataan mereka dengan menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong bola sepak Kelantan, dengan mesej penuh semangat:

“Majulah Sukan Untuk Kelantan!”

Kerjasama erat antara KAFA dan KRW diharap menjadi pemangkin kepada kebangkitan bola sepak negeri ini, sekali gus memberi impak positif kepada penyokong setia The Red Warriors.