UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah sebagai juara pertama Kejohanan Perak Football Varsity Challenge 2024 selepas menewaskan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik pada Sabtu.

Aksi yang berlangsung di UiTM Cawangan Perak menyaksikan USAS terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-26 melalui rembatan Muhammad Taufik, memberikan tekanan kepada UPSI.

Namun, semangat juang tinggi ditampilkan UPSI apabila mereka bangkit pada separuh masa kedua. Penalti yang diperoleh selepas penyerang UPSI dijatuhkan di dalam kotak penalti disempurnakan oleh Mohd Nasrudin pada minit ke-47, menyamakan kedudukan 1-1.

Perlawanan kekal terikat sehingga tamat masa tambahan, memaksa penentuan sepakan penalti. Dalam detik mendebarkan itu, UPSI berjaya mengatasi USAS dengan keputusan 7-6, sekali gus membawa pulang wang kemenangan RM3,000.

Di tempat kedua, USAS menerima RM1,500, manakala Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang meraih tempat ketiga membawa pulang RM1,000. Hadiah-hadiah tersebut ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik alumni UiTM, EBOQ Ventures.

Mohd Alief Najmi, dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.

Selain menjulang trofi kejuaraan, UPSI turut menyaksikan bintangnya, Mohd Alief Najmi, dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan. Persembahan cemerlang dan konsistennya sepanjang kejohanan melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM100.

Kejohanan Perak Football Varsity Challenge 2024 ini dianjurkan sebagai langkah mengukuhkan UiTM Cawangan Perak sebagai Pusat Kecemerlangan Bola Sepak IPT.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, serta dihadiri oleh Pengarah Teknikal Perak FC, Yang Mulia Raja Azlan Shah Raja So’ib, Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri, Zahrul Anuar Usaili, dan wakil penaja, Mohd Khairi Osaman dari EBOQ Ventures.

Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja mencipta detik bermakna buat pasukan yang bertanding, tetapi juga menyuntik semangat baharu dalam landskap bola sepak IPT di Malaysia.