LIONEL Messi berkata kekalahan kepada Arab Saudi pada perlawanan awal Piala Dunia 2022 membantu Argentina ke final. Keputusan itu mendorong pasukan Tango untuk beraksi lebih baik.

Argentina telah mengesahkan mara ke final Piala Dunia 2022. Ini berlaku setelah juara Copa America 2021 itu menundukkan Croatia 3-0 di separuh akhir yang diadakan di Stadium Lusail pada Rabu.

Tiga gol kemenangan Argentina hadir daripada sepakan penalti Lionel Messi dan dua gol Julian Alvarez. The Albiceleste akan menentang Perancis di puncak final.

Terdahulu, mereka memulakan perjalanan dalam kejohanan ini dengan tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi dalam fasa kumpulan.

Keputusan ini sekaligus menamatkan rekod Argentina dengan 36 perlawanan tanpa kalah. Selepas kekalahan kepada Arab Saudi, Argentina membuktikan mereka mampu bangkit dengan mara ke final.

Kapten Argentina itu menganggap kekalahan kepada Arab Saudi sebagai tamparan hebat buat pasukan Lionel Scaloni. Namun, keadaan itu sebenarnya menjadi pecutan untuk Argentina tampil lebih baik.

Katanya, Argentina tidak boleh kalah lagi jika tidak mahu tersingkir dari Piala Dunia. Terbukti, prestasi mereka terus meningkat sehingga perlawanan akhir.

ARTIKEL BERKAITAN : Perebutan Kasut Emas makin sengit!

“Perlawanan pertama Piala Dunia adalah tamparan hebat buat kami semua, kerana kami tidak tewas dalam 36 perlawanan. Kami tidak fikir kami akan tewas menentang Arab Saudi, jadi untuk bermula seperti itu adalah ujian yang sukar.

“Tetapi skuad ini membuktikan betapa kuatnya kami. Setiap perlawanan adalah perlawanan akhir selepas itu. Ia adalah beban mental kepada kami, jika kami tidak menang, perkara akan menjadi rumit .

“Kami telah bermain lima perlawanan akhir, dan nasib baik kami boleh menang kesemua , saya rasa dan harap ia akan sama untuk perlawanan terakhir.

“Kami tahu kemampuan kami selepas kalah dalam perlawanan pertama, tetapi sejak itu ia benar-benar membantu kami untuk menjadi lebih kuat dan berkembang secara dalaman,” kata La Pulga seperti dipetik Fourfourtwo.