KAPTEN Malayan Tigress Bawah 20 Tahun (B-20), Amirah Rahman menegaskan sebagai kapten, dia akan berusaha lebih lagi bagi meningkatkan komunikasi bersama rakan-rakan menjelang aksi seterusnya berdepan Myanmar dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan G Kelayakan Piala Asia Wanita 2024.

Menurutnya, mereka akan turun dengan sepenuh jiwa dan semangat untuk meraih kemenangan ke atas Myanmar yang berada pada momentum terbaik setelah menumpaskan Kemboja 2-0 dalam perlawanan pertama mereka.

“Saya rasa saya kena banyak lagi komunikasi dengan kawan-kawan dan pemain lain. Kita main bukan setakat dengan badan sahaja, kita main sekali dengan hati dan jiwa. Kalau tiada hati dan jiwa dalam padang itu, memang tiada apalah. Sedih tak selamanya sedih, kalah tak selamanya kalah,” jelas Amirah.

Tambah Amirah, perbezaan cuaca turut menjadi punca kepada prestasi longlai dan kehilangan fokus pemain disebabkan mereka terpaksa mengharungi cuaca yang terlalu panas.

Situasi tersebut mengganggu pemain  kerana di Malaysia mereka sudah biasa bermain dalam keadaan hujan untuk membolehkan pemain bermain seperti biasa.

“Main dekat sini memang panas terik. Panas memang tak boleh bawa bincang. Selalu di Malaysia setiap kali nak main hujan. Mungkin suatu yang membuat pemain hilang fokus dan tidak boleh bermain seperti biasa,” ujarnya.

Amirah  juga berazam akan belajar dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan menentang Kemboja yang menyaksikan Malaysia tewas tipis 0-1.

“InshaAllah kami akan buat yang terbaik. Kami akan perbaiki apa yang kita lawan kelmarin. Belajar daripada kesilapan,” katanya.