PEARLY Tan dan M Thinaah enggan terus dibayangi kekalahan kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China apabila sekali lagi berpeluang menentang pasangan itu, jika kedua-duanya mara ke akhir Terbuka China di Changzhou minggu ini.
Selepas tunduk straight set 15-21, 14-21 di final Terbuka Jepun Ahad lalu, Pearly mengakui kekurangan keyakinan dalam melakukan pukulan menjadi antara punca utama mereka gagal memberikan saingan seimbang.
“Kami kena percaya pada diri dan pukulan yang kami pilih, itu yang kurang dalam perlawanan tersebut,” katanya krpada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Liu Sheng Shu-Tan Ning mempamerkan kesempurnaan pada aksi di Terbuka Jepun. | FOTO BWF
Thinaah pula mengakui pelan permainan mereka tidak menjadi dan Liu-Tan berjaya membaca gerakan mereka dengan baik sekali gus menutup semua ruang serangan mereka.
“Kami akan belajar dari kesilapan itu dan pastikan kami tampil lebih bersedia jika berjumpa mereka semula,” ujar Thinaah, optimis pengalaman di Jepun memberi banyak pengajaran.
Pearly-Thinaah dijangka beraksi dalam suasana lebih mencabar di Terbuka China Super 1,000, akan membuka cabaran menentang pemain remaja negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting.