PENYERANG Johor Darul Ta’zim III, Syukur Fariz Januri gembira dan tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata apabila muncul juara Piala Presiden dan menjadi penjaring terbanyak kelab.
Dia juga berterima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada pasukan hingga bergelar juara.
Syukur juga bersyukur kerana apa yang dicatur oleh ketua jurulatih, Javier Jorda Ribera pada perlawanan itu ternyata menjadi apabila mereka berjaya menjaringkan dua gol di tempat lawan untuk mengecewakan Sri Pahang 2-0 sekaligus menang dengan aggregat 4-2.
2022 PRESIDENT’S CUP WINNERS! pic.twitter.com/Rxfln2Wad8
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 28, 2022
Dia juga berhasrat mahu mewakili skuad JDT atau JDT II jika diberi peluang selepas menampilkan aksi cemerlang bersama JDT III musim ini selepas muncul penjaring terbanyak pasukan dengan 12 gol.
“Sebenanrya kami tak jangka akan dapat menjaringkan dua gol di tempat lawan tetapi kita hanya ikut apa yang telah diaturkan oleh jurulatih dan terima kasih juga kepada TMJ kerana sering memberi dorongan buat kami dan akhirnya kami berjaya menjaringkan dua gol dan menjuarai piala ini.
“Kami memang sentiasa mahu tingkatkan diri dan bermain bersama skuad yang lebih tinggi sama ada JDT II atau JDT. Sekarang ini kami bermain di kejohanan Piala Presiden dan sudah tentu kami mahu bermain di Liga Perdana atau Liga Super pula selepas ini.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya untuk muncul penjaring terbanyak buat JDT III dan menjaringkan salah gol pada malam ini,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Kejayaan Johor Darul Ta’zim III ini adalah sebahagian daripada kejayaan Akademi JDT yang ditubuhkan pada 2015 sekaligus menambah kejuaraan Harimau Selatan dari pasukan senior hingga junior.