Select Page

Josue tak kejar rekod, fokus bantu KL City capai sasaran 

Josue tak kejar rekod, fokus bantu KL City capai sasaran 

KETUA pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue tidak memikirkan dirinya menjadi pemegang rekod penjaring terbanyak kelab sebaliknya hanya mahu fokus membantu pasukannya mencapai sasaran dalam saingan Liga Malaysia 2023.

Josue yang kini dalam musim ketujuhnya dengan KL City juga gembira dengan kehadiran pemain-pemain baharu terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan dan mahu ianya memberikan masalah yang baik kepada Bojan Hodak untuk memilih kesebelasan utama terbaik.

“Sejujurnya saya tidak memikirkan tentang memecah rekod penjaring terbanyak kelab.Jika ianya berlaku pasti sesuatu yang mengujakan. Saya memerlukan 16 gol lagi dan saya akan berbincang dengan jurulatih berkenaan perkara ini tetapi kini saya hanya fokus untuk membantu kelab mencapai sasaran dalam Liga Malaysia musim ini.

“Untuk dihormati rakan sepasukan apa yang perlu saya lakukan adalah hanya menjalankan tugas dengan baik dalam setiap perlawanan. Saya juga cuba membantu pemain muda untuk berkomunikasi dalam padang dan selagi saya melakukan tugas dengan baik dalam padang, saya akan dihormati rakan sepasukan.

“Kami semua bekerja keras untuk kembali cergas dan keadaan kelab kini semakin baik selepas kehadiran pemain baharu seperti Tchetche Kipre dan Herlison Caion dan berharap mereka dapat serasi dengan cepat dan dapat membantu pasukan musim ini.

“Kelab kini mempunyai ramai pemain yang bagus dan saya harap kami semua dapat menambah rasa pening kepala kepada Bojan untuk dia memilih kesebelasan utama terbaik untuk pasukan,” katanya ketika sidang media pra perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan.

Paulo juga mahu pasukannya mencapai kemenangan dalam Piala Menteri Wilayah Persekutuan kerana ianya akan membantu menaikkan semangat pasukan dan juga baik untuk mereka mengenali satu sama lain dalam perlawanan pemanas badan itu.

Kuala Lumpur City FC dan Perak FC akan berentap merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu dengan KL City yang turun dengan status Juara Zon Asean Piala AFC 2022 sudah pasti mahukan permulaan yang baik di musim 2023 ini.

 

Video Terkini

Loading...