LEGENDA bola sepak terhebat sepanjang zaman Pele dilaporkan meninggal pada usia 82 tahun lewat Khamis malam.

Bekas bintang Brazil itu dikenali seluruh dunia sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan satu-satunya pemain yang merangkul trofi Piala Dunia sebanyak tiga kali sekaligus menjadi ikon sukan paling berpengaruh pada abad ke-20.

Dia berada di hospital sejak akhir bulan lalu selepas pembedahan membuang kanser kolon pada tahun 2021.

Anak perempuannya Kely Nascimento mengesahkan kematiannya dengan memuatnaik status di media sosial: “Segala-galanya daripada kami adalah terima kasih kepada anda. Kami menyayangi anda tanpa batas. Berehatlah dengan tenang.”

Manakala terdapat mesej daripada tiga juta pengikut di akaun Twitter rasmi Pele: “Inspirasi dan sayang menandakan perjalanan Raja Pele, yang meninggal dunia dengan aman hari ini. Sayang, sayang, sayang selamanya.”

Penghormatan paling bermakna kepada satu-satunya lelaki yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali, pertama ketika berusia 17 tahun pada 1958, sekali lagi di Chile empat tahun selepas itu dan kemudian kemenangan ketiga ikonik di Mexico pada 1970.

Pele memulakan kariernya di Santos pada usia 15 tahun.

Sepanjang karier Pele, dia menjaringkan 1,282 gol dalam 1,366 perlawanan, termasuk 77 dengan 92 penampilan untuk negaranya.