RAJA Puan Besar Perak Darul Ridzuan Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah mencemar duli berangkat dan menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan yang diadakan di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada Rabu.

Penolong Naib Canselor (InQKA) UiTM, Profesor Dr. Azizah Abdullah dalam ucapannya mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada UiTM Cawangan Perak, Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia (BSKM) Negeri Perak, Persatuan Bola Jaring Negeri Perak dan Majlis Sukan Negeri Perak kerana telah bertungkus lumus bekerjasama demi menganjurkan edisi sulung ini.

“Penganjuran kejohanan ini menunjukkan komitmen UiTM yang bersungguh-sungguh berusaha membudaya dan menyemarakkan gaya hidup bersukan selaras dengan slogan ‘Sporting Campus’ di kalangan warga UiTM serta masyarakat.

“Malah, penganjuran kejohanan acara sukan yang melibatkan penyertaan wanita sangat kurang di Malaysia.

“Dengan adanya kejohanan seperti ini ianya mampu untuk melahirkan pemain-pemain berbakat yang berpotensi untuk mewakili negara pada suatu hari nanti khususnya dalam sukan bola jaring,” katanya bagi pihak UiTM.

Turut hadir Profesor Ts. Sr Dr Md Yusof Hamid (Rektor UiTM Cawangan Perak), Tengku Datin Seri Noor Hazah Al Hajjah (Yang DiPertua, Persatuan Bola Jaring Negeri Perak) dan Alwiyah Talib (Yang DiPertua Persatuan Bola Jaring Malaysia).

Selain itu, kejohanan ini merupakan salah satu medium terbaik untuk menaikkan nama UiTM dan Persatuan Bola Jaring Negeri Perak dengan menggunakan kepakaran sedia ada dan seterusnya mampu untuk menjadi penganjur utama sukan ini di Negeri Perak.

Ia juga berpotensi untuk membuka ruang dan memberi impak kepada universiti untuk membina jaringan industri bersama jabatan dan agensi sukan sekitar negeri Perak.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Mazlan Mohamad berkata sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

Kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Oktober 2022 bertempat di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.

Edisi sulung kejohanan ini bakal menyaksikan penyertaan 16 pasukan di peringkat kebangsaan yang terdiri daripada pasukan, IPTA/IPTS dan pasukan MAKSAK.