PENGANJUR utama liga bola jaring baru-baru ini menganjurkan NSL EmpowerHER 2026, program komuniti yang memberi fokus kepada pembangunan sukan wanita serta membina keyakinan komuniti bola jaring di Malaysia. Inisiatif julung kali ini berlangsung sempena musim kelima Netball Super League (NSL), liga bola jaring profesional terunggul negara.

Program itu menghimpunkan hampir 70 peserta daripada pelbagai kelab dan akademi, bertujuan memberi pendedahan kepada pendekatan profesional dan tersusun dalam sukan moden. Ia juga menekankan kepentingan pendidikan, motivasi dan pengalaman praktikal bagi memastikan peserta bersedia menghadapi cabaran dunia sukan.

 

Edisi tahun ini dilaksanakan dengan kerjasama Netball Hive, platform digital komuniti bola jaring, serta MyNISS sebagai venue rasmi, memberikan pengalaman unik dan luar biasa kepada semua peserta.

Salah satu aktiviti menarik ialah “Penalty Shoot on Ice”, cabaran penalti di atas rink ais sebenar yang menguji keseimbangan dan kemahiran peserta. Aktiviti ini berjaya menyuntik keseronokan serta semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Peserta melakukan aktiviti Penalty Shoot on Ice

Selain aspek fizikal, peserta turut mengikuti sesi perkongsian ilmu berkaitan Kod Sukan Selamat, Pertolongan Cemas Sukan, Kesedaran Kecederaan Sukan dan Dandanan Diri. Sesi ini dikendalikan pakar industri serta pemain NSL, menyediakan asas penting untuk pengurusan kelab yang profesional dan selamat.

Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan penganjur, berkata, “EmpowerHER bukan sekadar ceramah. Ia bertujuan membina komuniti wanita yang yakin, progresif dan bersedia memimpin. NSL adalah platform membangunkan bakat dari akar umbi, termasuk belia yang baru mula menapak dalam dunia sukan. Kami mahu setiap peserta pulang dengan inspirasi baharu dan memahami bahawa mereka adalah sebahagian masa depan bola jaring negara.”

Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan Astro

Beliau menambah, program ini menjadi simbol bahawa pembangunan sukan wanita kini berkembang menjadi gerakan komuniti yang lebih besar, kuat dan bersatu, melepasi sempadan gelanggang semata-mata. “Kami berharap inisiatif ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan kreatif, inklusif dan berimpak untuk komuniti bola jaring pada masa akan datang,” katanya.

Peserta melakukan aktiviti teambuilding di atas ais

Musim NSL akan kembali membuka tirai pada 17 April ini, menyaksikan lapan pasukan terbaik bersaing bagi merebut gelaran juara. Musim kali ini dijangka lebih kompetitif, dinamik dan penuh dengan momen menarik yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat.