HENDAK seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Demikian ungkapan yang paling tepat ditujukan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan, Rahim Yusof yang telah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan setelah persaraannya pada tahun 2013.

Jelasnya, dia mencuba pelbagai jenis bisnes dan kini memberi tumpuan kepada bisnes telur masin setelah perniagaan menjahit dan telur itik mencatatkan jualan yang tidak begitu memberangsangkan.

“Mula-mula belajar menjahit menggunakan kaki. Saya bawa kereta menggunakan kaki. Selepas saya menjahit, saya membuat bisnes itik telur.

“Sekarang ini saya proses telur masin. Selepas itu, saya bela lembu tiga hingga 14 ekor, lepas ini kita akan buat cuka pula,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Sunway Pyramid.

Bekas atlet angkat berat para kebangsaan, Koh Abdullah ditemui selepas sidang media di MSN.

Sementara itu, atlet angkat berat para kebangsaan, Muhammad Koh Abdullah menganggap kelebihannya dalam bidang lukisan adalah keajaiban dari tuhan.

Ia ekoran pendedahan yang dibuat atlet tersebut menjelaskan bahawa dia adalah seorang yang buta huruf sejak kecil.

“Saya  baru bermula. Saya tidak tahu membaca. Pernah pegang pen, saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh melukis. Boleh bagi kat manusia, semua orang cakap sangat cantik nama Allah.

“Tiada orang tahu lagi setakat ini. Saya tidak pernah pegang pen. Ini glow in the dark. Orang bagi saya kerusi. Saya sendiri lukis. Tiada orang ajar,” ujarnya.

Bekas atlet rejam lembing kebangsaan, Norsham Yoon.

Dalam perkembangan lain, bekas atlet rejam lembing kebangsaan, Norsham Yoon meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan yang diambil oleh Koh Lee Peng dengan menjaja publisiti murahan.

Tambahnya, perbuatan itu jelas dianggap biadab dan mencemarkan nama baik atlet para lain yang berbisnes menggunakan saluran yang betul.

“Pada saya, isu viral tentang Lee Peng ini adalah menyedihkan, tetapi apakan daya. Itu imej yang tidak elok dipamerkan kepada masyarakat. Jadi dengan pakaian baju harimau, dengan pingat, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita bekas atlet negara, kita memperjuangkan negara, jika kita menjatuhkan imej negara, tidak baguslah. Kita kena jaga, tidak boleh ambil simpati seperti itu, kita kena usaha dengan cara berbisnes.

“Ambil simpati seperti itu bukan untuk diri dia sahaja, bahkan semua atlet terasa, banyak cara lagi yang kita boleh buat,” kongsinya.