
Kapten Brendan penyelamat saat akhir ikat Tok Gajah

SELANGOR FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Sri Pahang FC 1-1 dalam aksi yang berlangsung dalam keadaan padang basah di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Aksi babak pertama bermula seimbang dengan Selangor FC dan Sri Pahang masing-masing memiliki peluang menjaringkan gol namun penyudah di bahagian hadapan sedikit tumpul.
Seawal minit ke-3, berlaku sedikit pergelutan antara Mohamad Faisal Abdul Halim dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham sehingga menyebabkan Azrif mencekak leher Faisal Halim namun berjaya dileraikan pengadil perlawanan.
Hujan renyai-renyai mula turun pada penghujung separuh masa pertama ketika kedua-dua pasukan masih tercari-cari gol pendahuluan buat pasukan masing-masing.
Peluang keemasan Tok Gajah hadir menerusi tandukan Kpah Sherman pada minit ke-44 permainan.
Sebaik babak kedua bermula, Alexander Ameyaw merembat kencang namun berjaya ditolak kemas penjaga gol Sri Pahang FC, Mohd Zarif Irfan.
Minit ke-62, Sharul Nazeem Zulpakar hampir memberi gol pertama tuan rumah namun ia sekali lagi gagal menuju tepat ke gawang Sri Pahang FC.
Bagaimanapun sedikit kesilapan Sharul Nazeem Zulpakar membawa padah apabila dia melakukan kekasaran di kotak penalti sehingga menjatuhkan Muhammad Baqiuddin.
Sepakan penalti tersebut mudah disempurnakan pertahanan Sri Pahang FC, Stefano Brundo pada minit ke-72 sekaligus meletakkan pelawat berada di hadapan 1-0.
Namun Selangor FC enggan mengaku kalah apabila kapten Brendan Gan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-88.