KARNIVAL Sukan Mahasiswa (KARiSMA) kini kembali hari ini setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2019 di UiTM Puncak Alam Selangor.

Bagi edisi kali ke-27 ini, kejohanan akan bermula pada 28 September hingga 5 Oktober 2022. Para peserta akan berkampung di UiTM Shah Alam yang melibatkan penyertaan kira-kira 3,040 orang atlet dan pegawai serta sukarelawan dari 14 kampus UiTM seluruh Malaysia.

Sebanyak 14 acara sukan yang akan dipertandingkan melibatkan sukan bola sepak, bola baling , bola jaring, ping pong, boling padang, bola tampar, catur, badminton, sepaktakraw, petanque, tenis, futsal, bola keranjang dan hoki dewan.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Pusat Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, bertujuan untuk memberikan impak kepada matlamat program universiti dalam menyokong Sustainable Development Goal, iaitu”Good Health and Wellbeing”, dalam usaha UiTM mempromosikan gaya hidup sihat dan sejahtera melalui penganjuran program sukan kepada warga kampus.

KARiSMA bertujuan memilih pemain-pemain baharu untuk mewakili UiTM ke kejohanan peringkat universiti kebangsaan dan antarabangsa.