BELUM ada tindakan susulan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terhadap Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjadi antara faktor kenapa bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini.
Menurut Shapawi, beliau membuat laporan terbabit berhubung kenyataan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menuduhnya melakukan elemen rasuah, menjelang pemilihan jawatankuasa persatuan terbabit pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 15 Disember lalu.
“Sehingga kini, saya tak dapat apa-apa maklum balas daripada SPRM. Mereka mungkin belum mulakan siasatan, saya tidak pasti apakah mempunyai cukup kes untuk mendakwa saya.
“Saya hanya tunggu sahaja dan jika ada nanti, saya akan turuti apa sahaja diarahkan SPRM demi menghormati undang-undang,” kata Shapawi, selepas membuat laporan polis.
Shapawi mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk bertindak, selepas laporan SPRM dibuat Megat D Shahriman (14 Disember).
Menurutnya, pihaknya mengambil masa bagi memberi ruang kepada SPRM melakukan siasatan terlebih dahulu (sekiranya ada kes) selain meneliti dan merangka pelan tindakan susulan.
“Barisan peguam telah memikirkan dan merangka pelan tindakan susulan, malah kawan-kawan saya juga meminta saya menlakukan tindakan lanjut seberapa segera.
“Jadi, hari ini saya tampil membuat laporan polis di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) dan akta lain yang berkaitan,” ujar Shapawi.
Tambah beliau, laporan SPRM dan kenyataan dibuat Megat D Shahriman pada 14 Disember lalu, didakwa berbaur fitnah terhadap beliau dengan menamakannya dan Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Mohd Sofian Hamzah melakukan jenayah memberi rasuah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membolehkan Shapawi merebut jawatan Presiden MPM bagi penggal 2025-2029.
Justeru, beliau menafikan kenyataan tersebut sambil mendakwa, tindakan Megat D Shahriman telah memberi persepsi negatif masyarakat terhadap pegawai kerajaan.
Beliau turut mengesahkan bahawa Mohd Sofian juga telah membuat laporan polis yang sama terhadap Megat D Shahriman.
Dalam pada itu, peguam beliau, Datuk Michael Wong berkata, selain laporan polis hari ini, beliau akan membawa perkara itu kepada mahkamah untuk memfailkan sivil.
“Hari ini kita buat laporan jenayah dan saya akan memohon sivil di mahkamah. Mahkamah akan meneliti wujud atau tidak kebenaran atau menjejaskan reputasi atau tidak.
“Saya akan ke mahkamah minggu hadapan,” kata Michael.