DUA penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan Romel Morales masing-masing menzahirkan penghargaan kepada kata-kata semangat yang diucapkan secara peribadi oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.
Terdahulu, menerusi hantaran di laman sosial rasmi Tunku Ismail, kedua-dua pemain itu diberikan ‘pep talk’ selepas berakhir taklimat pasukan sebelum mereka berlepas ke Kelana Jaya untuk berhadapan Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
“Bercakap dengan Bergson dan Romel secara peribadi. Kedua-duanya jaringkan gol,” tulis hantaran itu.
Hasilnya, kedua-dua pemain membuktikan kata-kata semangat itu dengan menjaringkan gol ketika membantu JDT menewaskan Gergasi Merah 3-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Tangkap layar hantaran Tunku Ismail di laman instagram peribadinya
Bergson dan Romel gembira dan terharu dengan pendekatan peribadi dari pemilik kelab itu yang dianggap tepat pada masanya dan rasa percaya membuatkan mereka menjadi lebih baik dari hari ke hari.
“Kata-kata anda sentiasa berada tepat pada detik yang penting dan genting buat kami boss,” tulis Bergson di Instastory peribadinya yang menggambarkan rasa gembiranya apabila mendapat kepercayaan daripada Tunku Ismail.
“Terima kasih atas segala kata-kata dan nasihat yang diberikan boss. Kepercayaan ini buatkan kami menjadi lebih bagus setiap hari,” tulis Romel yang menjaringkan gol pembukaan pada Ahad.

Kata-kata penghargaan daripada Bergson dan Romel kepada Tunku Ismail
Rasa percaya dan mengenali kekuatan pemain menjadi tunjang utama Tunku Ismail dalam meningkatkan motivasi para pemain yang perlu segera bangkit selepas tewas di Liga Juara-Juara AFC Elite dan hasilnya, Harimau Selatan tampil garang di Kelana Jaya membenam Selangor.
Sejurus selepas wisel penamat, Tunku Ismail pantas mengucapkan tahniah kepada pasukan dan membuat panggilan video bukan hanya kepada para pemain tetapi juga para penyokong sebagai tanda penghargaan dan perkara ini sudah menjadi sebahagian daripada faktor kekuatan JDT sejak 2013.