MAJLIS Ballon d’Or 2024 yang berlangsung di Paris pada selasa menyaksikan kehadiran bintang-bintang bola sepak terbesar yang tampil bergaya kecuali wakil dari Real Madrid.

Pemain tengah Manchester City dan Sepanyol dan juga Juara Euro 2024, Rodri, yang kini mengalami kecederaan ACL, berjaya memenangi anugerah Ballon d’Or mengatasi Vinicius Junior dan Jude Bellingham.

Real Madrid sebelum ini mengesahkan bahawa tiada wakil dari kelab itu akan hadir dalam majlis tersebut setelah mereka menuduh penganjur dan Uefa tidak menghormati kelab yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebanyak 15 kali itu.

Ia mencipta suasana canggung apabila gergasi LaLiga itu dinamakan sebagai Kelab Lelaki Terbaik Tahun Ini, tetapi tiada siapa yang hadir untuk menerima anugerah tersebut.

Rodri yang tiba di majlis bersama tongkat berikutan kecederaan ACL

Namun, majlis yang berlangsung di Theatre du Chatelet di Paris tetap penuh dengan kehadiran ramai bintang ternama seperti penyerang Bayern Munich dan England, Harry Kane, antara 30 pemain yang dicalonkan untuk anugerah lelaki terbaik.

Kane dinobatkan sebagai pemain ke-10 terbaik dunia dan menerima Anugerah Gerd Muller bersama Kylian Mbappe sebagai penyerang terbaik dunia selepas menjaringkan 52 gol musim lalu.

Bintang Barcelona dan Sepanyol, Lamine Yamal, turut hadir sebelum menerima Trofi Kopa untuk Pemain Muda Terbaik.

Kane berjaya memenangi trofi Gerd Muller

Pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo, menduduki tempat ketiga dalam kategori tersebut selepas kejayaan musim cemerlangnya, manakala pemain Real Madrid, Arda Guler, dinobatkan sebagai naib juara.

Antara bekas pemain yang turut hadir termasuk bintang Barcelona, Real Madrid, dan Portugal, Luis Figo, ikon Chelsea Didier Drogba, bekas penyerang Liverpool Djibril Cisse, dan legenda Liga Juara-Juara, Clarence Seedorf.