PEMAIN tengah baharu UM-Damansara, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal mengakui dikejutkan dengan tempo dan intensiti tinggi bola sepak Malaysia, yang disifatkannya jauh lebih pantas berbanding pengalaman yang pernah dilalui di Amerika Syarikat.
Menurut Kuzri, perbezaan paling ketara dapat dirasai sebaik sahaja turun beraksi, apabila permainan di Malaysia menuntut kepantasan membuat keputusan dan fizikal yang lebih agresif berbanding pendekatan di Amerika Syarikat yang lebih menekankan kawalan bola.
“Cara terbaik saya boleh gambarkan intensiti bola sepak Malaysia ialah semuanya 100 batu sejam. Berbeza di Amerika Syarikat, saya lebih biasa dengan kawalan bola dan perkara yang saya boleh lakukan. Itu satu perbezaan halus yang saya perasan,” katanya.
Pemain yang menyertai UM-Damansara secara pinjaman dari Negeri Sembilan FC sehingga akhir musim 2025/26 itu bagaimanapun melihat cabaran tersebut sebagai ruang untuk memperkembangkan permainannya, terutama dari segi ketahanan fizikal dan kelajuan berfikir di atas padang.
Bekas pemain Akron Zips itu turut mendedahkan keputusannya beraksi di Malaysia mendapat sokongan penuh keluarga termasuk abangnya, Wan Kuzain, yang memahami impian beliau untuk bergelar pemain profesional.
“Mereka amat gembira untuk saya kerana mereka sentiasa tahu impian saya bermain secara profesional. Jadi tidak kira di mana, ia bukan satu halangan,” ujarnya.
Kuzri sebelum ini membuat penampilan sulung dalam Liga A1 Semi-Pro ketika UM-Damansara menentang Malaysian University FT (MUFT), dan kehadirannya diharapkan mampu menambah kualiti di bahagian tengah pasukan itu ketika saingan liga semakin sengit, selari dengan reputasi bola sepak Malaysia yang menuntut permainan berintensiti tinggi dari minit pertama hingga wisel penamat.