KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) bakal menerima peruntukan tambahan berjumlah RM3.9 juta bagi melaksanakan program pembangunan sukan hoki lima sebelah (5s) dalam tempoh lima tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan yang bakal diberikan bermula tahun ini, sebagai persediaan untuk mempersiap pasukan yang kuat untuk kempen Piala Dunia akan datang.
“Saya sudah memberi taklimat ringkas kepada jemaah menteri mengenai pencapaian mereka (pasukan hoki 5 sebelah).
“Persiapan yang kita perlu buat sekarang adalah memastikan untuk Paila Dunia akan datang, segala persiapan untuk mereka sudah ada kerana kesedaran mengenai kejohanan ini (lima sebelah) sudah bermula.
“Kita tidak mahu persediaan hanya dilakukan pada 2027 untuk bersaing pada 2028,” kata Hannah, ketika menyambut kepulangan skuad hoki negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Hadir sama Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal bersama kepimpinan KHM, serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub bersama kepimpinan MSN.
Menurutnya, peruntukan RM3.9 juta itu adalah tambahan baharu yang dihantar kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN sudah menghantar permohonan kepada MOF (Kementerian Kewangan) semalam.
“Kita hanya perlu menunggu kelulusan kerana peruntukan ini tidak termasuk dalam perancangan sebelum ini.
“Saya yakin kerajaan akan mempertimbangkannya, malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah mengucapkan tahniah kepada pasukan, jadi kerajaan akan menbyokong,” ujar Hannah lagi.
Usul peruntukan tambahan itu hadir selepas skuad negara muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5’s, di Muscat, Oman.
Skuad negara bimbingan Wallace Tan tewas 2-5 kepada Belanda pada perlawanan akhir awal pagi Khamis, sekali gus melakar sejarah pencapaian tertinggi skuad hoki negara pada penganjuran sulung kejohanan.
Dalam pada itu, skuad terbabit bakal menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM80,000, atas pencapaian muncul naib juara Piala Dunia.
Malah, KBS juga akan membuat pembayaran wang perbelanjaan pasukan ke Muscat, kepada KHM.
“Kita sudah minta KHM menghitung kira perbelanjaan digunakan ke sana (Muscat) dan menghantarnya kepada MSN untuk kita membuat pembayaran semula.