SETIAP persatuan sukan akan dinilai melalui sistem penilaian khas yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan dana kerajaan diagih secara telus dan berimpak tinggi, bermula tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sistem itu menjadi penanda aras baharu sebelum sebarang kelulusan peruntukan atau bantuan kewangan diberikan kepada mana-mana persatuan.

Katanya, penilaian akan dibuat berdasarkan pelbagai aspek termasuk tadbir urus, penyertaan wanita serta penglibatan bekas atlet dalam kepimpinan sesebuah badan sukan.

“Mulai tahun depan, semua permohonan dana akan melalui proses rating terlebih dahulu, dan hanya persatuan dengan pengurusan terbaik akan menerima peruntukan lebih besar,” katanya, dalam satu majlis bersama Media 2025, semalam.

Hannah menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan setiap sen yang disalurkan kerajaan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan sukan.

Melalui sistem baharu ini, pengalaman bekas atlet turut dimanfaatkan dalam membimbing pelapis dan membantu memperkukuh hala tuju sukan negara.

Pendekatan KBS ini dilihat sebagai pembaharuan menyeluruh bagi memperkukuh ekosistem sukan negara agar lebih cekap, inklusif dan berdaya saing di semua peringkat.