KONTINJEN negara dijangka berdepan cabaran besar melibatkan logistik di Sukan SEA 2025 apabila penganjur di Thailand memutuskan untuk tidak menyediakan perkampungan sukan bagi menempatkan atlet dan pegawai.
Ketua Kontinjen Negara, Nurul Huda Abdullah berkata, keputusan itu memaksa semua atlet ditempatkan di hotel berasingan mengikut sukan masing-masing, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi koordinasi dan pengurusan keseluruhan pasukan.
“Tiada perkampungan sukan disediakan, semua atlet akan tinggal di hotel berbeza di sekitar Bangkok, Chonburi dan Songkhla, bergantung kepada lokasi pertandingan,” katanya, selepas mesyuarat pengurus pasukan di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Nurul Huda Abdullah mahu lebajikan atlet terjaga.
Menurutnya, keadaan itu menuntut perancangan teliti kerana urusan logistik, perubatan dan sains sukan akan menjadi lebih kompleks berbanding temasya sebelum ini.
“Institut Sukan Negara (ISN) kini sedang menilai hotel paling strategik untuk dijadikan pangkalan utama bagi rawatan fisioterapi, pemulihan serta ujian doping,” ujarnya.
Beliau berkata, pengurus pasukan turut memainkan peranan penting memastikan kebajikan atlet terjamin, dengan tanggungjawab penuh terhadap disiplin, pemakanan dan logistik pasukan masing-masing.
Walaupun berdepan cabaran luar jangka, Nurul Huda menegaskan kontinjen Malaysia tetap akan tampil dengan semangat juang tinggi, menjadikan Sukan SEA 2025 bukan sekadar medan saingan, tetapi langkah strategik menuju kejayaan di temasya 2027 nanti.