KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkukuh semula struktur bola sepak negara susulan isu hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya bagaimanapun akan menunggu keputusan penuh rayuan yang dikemukakan FAM kepada FIFA esok sebelum menentukan langkah seterusnya bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS).
“Harapan saya, selepas keputusan rayuan keluar, saya akan bekerjasama dengan FAM dan Pesuruhjaya Sukan untuk melihat penambahbaikan yang patut dilakukan,” katanya selepas Gimik Kerja Naik Taraf Kompleks Sukan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kompleks Sukan Jalan Raja Muda, Kampung Baru, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu menunggu keputusan FIFA terhadap rayuan FAM sebelum meneruskan langkah seterusnya.
Menurut Hannah, isu itu bukan sekadar melibatkan tujuh pemain kebangsaan yang terkesan, sebaliknya turut membabitkan masa depan keseluruhan ekosistem bola sepak tanah air.
“Kita kena ingat, pasukan kebangsaan bukan hanya tujuh atlet itu, tetapi ramai lagi pemain yang bergantung kepada hala tuju dan kepimpinan bola sepak negara,” katanya.
Beliau menegaskan semangat pemain seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi perlu terus disokong agar karier mereka tidak terjejas akibat krisis yang melanda.
“Kalau kita putus asa seperti ini sahaja, habislah pemain lain. Tak adil untuk mereka,” tegasnya.
Terdahulu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM dan menggantung tujuh pemain warisan Harimau Malaya selama 12 bulan selepas mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dokumen rasmi.