KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang membabitkan dana awam susulan isu audit yang mengaitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata audit sudah dilaksanakan dan sebarang tindakan lanjut perlu dibuat mengikut lunas undang-undang sekiranya wujud unsur kecuaian atau salah laku.
“Bagi saya audit telah pun dilaksanakan. Kemudian kita akan melihat apakah langkah-langkah yang ada, sesuai dengan lunas undang-undang.
“Jika ada kesilapan dan juga salah laku, kita serahkan kepada pihak yang berpatutan. Tidak ada kompromi berkenaan perkara tersebut, khususnya apa-apa yang melibatkan dana awam dan wang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu audit membabitkan FAM selepas merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Taufiq menegaskan KBS tidak akan mencampuri urusan pentadbiran persatuan, namun menyokong usaha memperkukuhkan ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan sukan negara.
“Kita sentiasa terbuka untuk sebarang proses ketelusan. Itu yang paling penting sekali. Bukan sahaja audit dalaman, tetapi juga bagaimana rakyat mahu tahu pengurusan dana dan sebagainya,” katanya.
Sumber Gambar: Facebook/Taufiq Johari