PASUKAN Harimau Malaya bakal beraksi dengan identiti visual yang lebih segar dan berani apabila Puma memperkenalkan jersi ketiga skuad kebangsaan yang hadir dalam warna biru, satu kemunculan semula selepas hampir enam tahun tidak digunakan sebagai warna alternatif rasmi.

Pelancaran jersi tersebut diumumkan menerusi hantaran di media sosial Puma Malaysia yang menampilkan beberapa pemain utama negara memperagakan rekaan baharu itu.

Menariknya, jersi ini menggunakan biru sebagai warna asas, diserikan dengan grafik merah dan putih yang memberikan sentuhan moden serta membawa elemen patriotik yang cukup kuat.

Padanan penuh jersi ini turut memperkukuh inspirasi Jalur Gemilang, dengan seluar putih, stokin merah dan nameset kuning melengkapkan kombinasi warna yang mencerminkan semangat Malaysia secara menyeluruh.

Sentuhan ini bukan sahaja memberikan imej lebih garang kepada skuad negara, malah menyerlahkan keunikan rekaan keluaran Puma untuk musim kali ini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memakai jersi biru adalah sekitar 2018 hingga 2019 sebelum hitam diangkat sebagai warna alternatif.

Kehadiran semula biru dalam koleksi jersi Harimau Malaya menjanjikan aura baharu buat penyokong yang pastinya menantikan penampilan pasukan kesayangan mereka dengan rekaan lebih segar, moden dan penuh identiti nasional.

foto: Puma Malaysia