RAMAI bekas atlet negara tidak sedar mereka sebenarnya dilindungi skim rawatan perubatan setaraf pesara kerajaan, hanya dengan menjadi ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, skim itu diluluskan sejak 2019 dan membolehkan lebih 3,200 ahli mendapatkan rawatan asas percuma di hospital kerajaan dengan hanya menunjukkan kad keahlian.

“Ramai yang tak tahu kelebihan ini. Mereka tak perlu keluarkan duit untuk rawatan asas. Ini satu kelegaan besar terutama buat bekas atlet yang sudah tiada pendapatan tetap,” katanya dalam sidang media di pejabat YAKEB di Bukit Kiara.

Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail

Yakeb juga menyediakan bantuan tambahan seperti kerusi roda dan tongkat mengikut keperluan, walaupun berdepan batasan kewangan. Katanya, kebajikan bekas atlet tetap jadi keutamaan yayasan.

Sementara itu, beliau memberi tahu, bekas pelari negara, G. Saravanan tetap menerima pelbagai bentuk bantuan sejak 2021 selepas disahkan menghidap penyakit Motor Neuron Disease (MND).

Menurut Shapawi, Saravanan pernah dibantu mendapatkan kontrak dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan pencen ilat PERKESO. Malah, Yakeb juga bantu urus rawatan di India dan beri elaun sara diri selama enam bulan.

“Yakeb akan terus beri sokongan kepada semua bekas atlet yang memerlukan, termasuk Saravanan. Kita hargai jasa mereka,” katanya.