ISU hubungan Persatuan Bola Sepak malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) terus menjadi perhatian selepas amaran berulang kali mengenai risiko campur tangan kerajaan. Terbaharu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John tampil memperjelas perkara itu secara tegas, menyokong kenyataan awal pemerhati sukan, Datuk Christopher Raj bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu berhati-hati agar tidak melangkaui batas yang boleh mengundang penggantungan.

Windsor menjelaskan bahawa meskipun FAM sedang berdepan krisis susulan keputusan FIFA, kerajaan tetap tidak boleh mengeluarkan arahan atau tekanan kepada mana-mana pegawai FAM untuk berundur kerana ia melibatkan autonomi sebuah persatuan yang dipilih oleh ahli gabungan dalam kongres. Beliau mengingatkan bahawa hanya ahli gabungan mempunyai hak untuk menentukan hala tuju kepimpinan.

“Walaupun FAM dalam krisis, kementerian atau menterinya tidak boleh mengarahkan pegawai-pegawai FAM untuk berundur. Tak boleh kerana Mereka dipilih oleh ahli gabungan,” tegasnya.

Menurut Windsor, kerajaan sememangnya antara pemegang taruh terbesar dalam ekosistem bola sepak, namun peranan mereka adalah untuk membantu pembangunan,  bukan mengurus atau menentukan pentadbiran persatuan. Beliau turut menekankan bahawa setiap kenyataan rasmi perlu dibuat dengan penuh cermat kerana salah tafsir boleh dianggap campur tangan.

Bila buat statement, kena berhati-hati supaya tidak melanggar kebebasan FAM,” jelasnya.

Beliau turut mengulangi bahawa kerajaan tidak boleh sama sekali mengeluarkan arahan, mempengaruhi keputusan, atau terlibat dalam proses pentadbiran dalaman FAM.

“Tak boleh masuk campur, tak boleh memberi apa-apa arahan, tidak boleh mempengaruhi,” katanya, mengingatkan bahawa integriti persatuan perlu dihormati mengikut peraturan FIFA.

Apabila ditanya mengenai kes terbaharu melibatkan campur tangan kerajaan yang membawa kepada tindakan penggantungan, Windsor mendedahkan contoh paling dekat di rantau Asia Tenggara.

“Baru ni Brunei. Ada campur tangan pihak ketiga dalam proses pemilihan… FIFA dan AFC telah pun menubuhkan normalization committee,” katanya merujuk kes yang berlaku dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Beliau menjelaskan bahawa campur tangan pihak ketiga dalam pemilihan kepimpinan memberi kesan langsung kepada tadbir urus bola sepak sesebuah negara, sekali gus memaksa FIFA dan AFC mengambil tindakan drastik bagi memulihkan struktur pentadbiran. Kes Brunei itu dijadikan peringatan jelas bahawa apa-apa tindakan di luar garis panduan boleh memberi impak besar kepada seluruh ekosistem bola sepak.