KEDAH Darul Aman (KDA) FC kini menghadapi cabaran besar dalam mengharungi musim 2024-2025, khususnya dari segi kewangan. Kos perbelanjaan bulanan yang tinggi untuk menampung keempat-empat pasukan di bawah pengurusan kelab menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong dan pihak berkepentingan.
Beberapa pihak mendesak agar KDA FC dibubarkan kerana masalah kewangan yang masih belum dapat diselesaikan. Mereka mencadangkan syarikat digulung dan kontrak lebih 100 pemain serta pegawai ditamatkan.
Namun, terdapat juga pihak yang berpendapat kelab ini perlu meneruskan perjuangan hingga tamat musim, walaupun dalam keadaan mencabar.
Pemilik utama KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, tampil berkongsi pandangan dan cabaran yang dihadapi.
Menurut beliau, sejak Januari 2024, terdapat cadangan agar KDA FC dibubarkan. Namun, beliau memilih untuk meneruskan perjuangan kerana kelab ini merupakan legasi rakyat Kedah Darul Aman.
“Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum berusaha. Alhamdulillah, saya berjaya menyelesaikan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024, dan kelab dibenarkan bertanding untuk musim baharu 2024/2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan kelab terus bertahan meskipun dalam serba kekurangan. Namun, situasi semasa menunjukkan pemegang saham lain tidak mampu menyumbang, dan beliau terpaksa mencari dana tambahan. Malangnya, jumlah yang diperoleh masih belum mencukupi untuk menampung keperluan kelab.
“Sebahagian peminat hanya hadir ke stadium jika pasukan menunjukkan prestasi cemerlang. Namun, pemain tetap bermain kerana komitmen mereka. Sikap mereka amat saya hargai,” ujarnya.
Sang Kenari kini hanya bergantung kepada sumbangan seorang pemegang saham yang bekerja keras mencari dana untuk perbelanjaan asas kelab. Penjualan tiket, barangan rasmi, dan sumbangan beberapa individu penaja tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan besar.
Lebih memburukkan keadaan, bekas gergasi utara tanah air itu masih belum mendapat penaja utama mahupun pembeli baharu yang sesuai.
“Kami akan terus berusaha meneruskan penyertaan dalam musim ini dengan izin Allah. Usaha kami tidak akan berhenti demi maruah bola sepak Kedah,” katanya.