LEE Zii Jia terpaksa berehat untuk tempoh lebih panjang selepas kecederaan ligamen buku lali kanan, yang dialami pada Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan lalu, memerlukan masa untuk pulih.

Justeru, selain Terbuka Malaysia, perseorangan lelaki nombor satu negara itu terpaksa melupakan cabaran di Terbuka India dan juga Indonesia Masters yang sepatutnya dia sertai bulan ini.

Team menerusi satu kenyataan Team LZJ, pemain nombor enam dunia itu dijangka tidak sempat sembuh sepenuhnya sehingga Indonesia Masters.

“Penampilan pertama Zii Jia untuk saingan musim 2025 terpaksa ditangguhkan lagi kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan ligamen buku lali kanan yang dialaminya.

“Zii Jia sah akan terlepas dua lagi kejohanan pada Januari ini iaitu Terbuka India dan Masters Indonesia,” kata kenyataan yang dikongsi menerusi aplikasi “X”.

Team LZJ memberitahu, mereka sedang mendapatkan bantuan pakar perubatan dan akan terus memantau tahap kecederaan pemain itu bagi membantunya melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

Sebelum ini, Zii Jia mengumumkan  menarik diri daripada Terbuka Malaysia yang bermula, hari ini.

Selepas Terbuka Malaysia, Lee Zii Jia terpaksa melupakan Terbuka India dan  Indonesia Masters.

Zii Jia sebelum ini berdepan nasib malang apabila terpaksa menarik diri ketika set kedua bertemu pemain China, Li Shi Feng dalam aksi terakhir Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou.

Dia yang sudah mengesahkan tempat di separuh akhir selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen dan Chou Tien Chen, memimpin perlawanan 13-4 dalam set kedua selepas memenangi set pertama 22-20.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali kanan memaksa dia menarik diri ketika mendahului 15-11.

Keputusan menarik diri itu turut menyaksikan penyertaan Zii Jia di kejohanan itu dibatalkan berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).