KHABAR gembira dari Bangkok dihadiahkan oleh dua beregu profesional negara, yang melangkah ke separuh akhir, Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, pada Jumaat.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya menempah tempat ke pusingan seterusnya selepas mengejutkan lawan masing-masing yang juga pilihan kejohanan.

Yew Sin-Ee Yi yang berdepan tugas getir berdepan pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Mereka mencapai kemenangan 10-21, 21-17, 21-19 sekali gus menjuarai kumpulan A dan mara ke separuh akhir, sambil diiringi gandingan dari Indonesia itu.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Yew Sin- Ee Yi yang sebelum ini tewas dalam empat pertemuan terakhir mereka tahun ini.

“Mereka memang bermain dengan baik tahun ini. Tapi kami tak fikirkan pencapaian mereka sebelum ini.

“Kami juga tak fikir apa keputusan yang kami akan peroleh sama ada menang atau kalah kerana yang penting kami berikan yang terbaik dan akhirnya kami menang,” kata Ee Yi.

Sementara itu kecemerlangan beregu profesional negara disajikan Kian Meng-Pei Jing yang mengiringi jejak Yew Sin-Ee Yi ke separuh akhir.

Kian Meng-Pei Jing menewaskan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-17-22-20 untuk muncul naib juara kumpulan B di belakang pasangan Thailand yang juga pilihan kedua kejohanan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Justeru, Yew Sin-Ee Yi akan berdepan satu lagi lawan gergasi dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di separuh akhir pada Sabtu, manakala Kian Meng-Pei Jing, menentang piihan keempat beregu campuran dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.