AC Milan memuji sokongan yang mereka terima di Arab Saudi kerana membantu memberikan inspirasi kepada kemenangan dramatik 3-2 dalam perlawanan akhir EA Sports FC Supercup ke atas juara bertahan dan seteru mereka, Inter Milan, di Riyadh pada Isnin.

Gol kemenangan Tammy Abraham pada masa kecederaan mencetuskan kegembiraan luar biasa daripada para pemain, pegawai, dan penyokong AC Milan yang memenuhi Al Awwal Park, bersatu dalam meraikan detik sukan yang paling mendebarkan.

Selepas ketinggalan kepada dua gol yang dijaringkan oleh penyerang Inter, Lautaro Martinez dan Mehdi Taremi, pada masa kecederaan separuh masa pertama dan sejurus selepas rehat, AC Milan menghasilkan kebangkitan yang luar biasa.

Theo Hernandez terlebih dahulu menyempurnakan sepakan percuma dari tepi kotak penalti pada minit ke-52 sebelum Christian Pulisic menjaringkan gol dari sudut sukar 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Inter akur tewas kepada seteru kota, Milan di Riyadh.

Hantaran cantik Pulisic pada masa kecederaan kemudian dimanfaatkan oleh pemain gantian Rafael Leao yang melorongkan bola kepada Tammy Abraham untuk gol mudah tetapi paling memuaskan.

Kemenangan ini turut memberikan pengurus baharu AC Milan, Sergio Conceicao, sebuah trofi dalam perlawanan keduanya bersama pasukan itu – dengan kemenangan pertama adalah kebangkitan 2-1 ke atas Juventus dalam separuh akhir pada Jumaat lalu.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, terutamanya pada separuh masa pertama, tetapi saya benar-benar percaya kepada tanda-tanda yang ditunjukkan oleh pemain sepanjang minggu ini. Saya hanya mengubah beberapa perkara kecil, dan ia ternyata langkah yang baik.

“Saya benar-benar percaya kepada kerja saya dan pasukan kejurulatihan saya. Kami perlu memiliki mentaliti yang betul untuk mengubah baki musim ini. Saya menerima tanggungjawab di AC Milan dan saya gembira.

“Kami disambut dengan layanan yang luar biasa di Arab Saudi, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur dan penyokong,” kata Conceicao.

Conceicao mengambil alih tugas daripada rakan senegaranya dari Portugal, Paulo Fonseca, sebagai pengurus pasukan San Siro pada 30 Disember.