PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan tindakan sesetengah pihak cuba menjatuhkan reputasi kelab itu sebagai satu usaha terdesak.

Kenyataan Pemangku Sultan Johor itu dibuat susulan dakwaan yang tular bahawa JDT dibiayai sepenuhnya menggunakan dana awam atau kerajaan, termasuk tuduhan bahawa 91 peratus daripada hasil pendapatan kelab pada tahun 2024 datang daripada sumber berkaitan kerajaan.

“Terlalu terdesak. Sungguh memalukan. Mereka tak mampu bersaing, jadi mereka cuba sedaya upaya mencari jalan lain untuk menjatuhkan Kelab JDT kami. Cuba lagi,” tulis baginda menerusi hantaran di platform X.

Sebelum ini, JDT menerusi Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikalnya, Alistair Edwards turut menafikan dakwaan berkenaan dengan menegaskan ia tidak tepat, tidak berasas serta berpunca daripada salah tafsir fakta sebenar.

Menurut beliau, walaupun akaun kewangan teraudit kelab menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, perkara tersebut merupakan prosedur operasi standard dalam penyaluran dana berkaitan sukan.

Edwards menjelaskan bahawa sebahagian dana yang disalurkan melalui saluran tersebut sebenarnya datang daripada penaja swasta yang menggunakan mekanisme berkenaan bagi tujuan pelepasan cukai.

Selain itu, geran kerajaan yang diterima pula digunakan khusus untuk program pembangunan sukan akar umbi termasuk penganjuran kejohanan remaja serta program pembangunan bola sepak di seluruh daerah di Johor.

“Tiada satu pun daripada geran ini digunakan untuk operasi bola sepak kelab, termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab,” tegas Edwards.