KEHADIRAN Sergio Aguero ke sesi latihan skuad Harimau Malaya telah membuktikan bahawa ketua jurulatih, Kim Pan-gon mempercayai khidmatnya sebagai pemain ke-26 dalam misi menentang Chinese Taipei pada Selasa.

Pada awalnya, pengendali kelahiran Korea Selatan itu mendedahkan sudah mahu menyenaraikan nama Aguero namun terdapat halangan susulan kecederaan yang dialami oleh pemain Sri Pahang FC itu yang membuatkan dia tidak tersenarai dalam panggilan ke kem pusat latihan untuk aksi Kelayakan Kumpulan D, Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Skuad Harimau Malaya memang berdepan krisis besar kerana kehilangan tonggak pemain di bahagian serangan akibat kecederaan yang dialami oleh lima pemain, Arif Aiman Hanapi, Faisal Abdul Halim, Romel Morales, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.

Harimau Malaya menjalani sesi latihan di padang Wisma FAM, pada malam Ahad.

Oleh itu, tonggak Sri Pahang itu diharapkan mampu menguatkan lagi jentera serangan skuad kebangsaan, sekali gus merealisasikan impian Pan Gon untuk meraih tujuh gol minimum pada perlawanan esok.

“Semua sendiri boleh kira berapa orang (penyerang) sahaja yang datang ke awal sesi latihan. Aguero pada awalnya memang mahu dipanggil tetapi dia terlibat dalam satu kecederaan.

“Selepas pulih sepenuhnya, kini kami panggil dia semula. Kami mahukan jaringan yang banyak dan kami panggil kesemua penyerang yang berkualiti. Saya juga melihat bahawa Aguero sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan.

Kim Pan-gon ketika di sesi sidang media pra-perlawanan Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Sekarang, kita hanya perlu lihat sejauh mana dia (Aguero) boleh membantu kita untuk memaksimumkan aksi keseluruhan jentera serangan yang kita miliki sekarang,” kata Pan Gon ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa ada kelibat Aguero pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Padang Wisma FAM, pada malam Ahad. Sejurus itu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri mengumumkan kehadiran penyerang Sri Pahang FC itu.

Misi penting buat skuad Harimau Malaya untuk mendapatkan jurang jaringan besar terhadap perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 pada malam Selasa iaitu menentang Chinese Taipei, demi melayakkan Malaysia ke Kempen Piala Asia 2027.