AKHIRNYA teka-teki terjawab, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard kini sah bergelar Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, selepas diumumkan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub dalam majlis rumah terbuka FAM hari ini.
Pelantikan ini sekaligus menjawab persoalan hangat yang berlegar sejak Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan tentang pembentukan barisan pengurusan baharu skuad kebangsaan.
Antara kriteria utama yang disebut termasuklah ketegasan, pengalaman dan pemahaman mendalam terhadap bola sepak moden — ciri-ciri yang dilihat cukup tepat pada sosok Stanley.

Nama Stanley Bernard bukan asing dalam bola sepak tanah air.
Dari pemain kebangsaan ke pentas pengurusan, beliau mengukir sejarah bersama KL City apabila membawa pasukan itu menamatkan kemarau 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia pada 2021. Setahun kemudian, kelab ibu kota itu melakar pencapaian luar biasa sebagai naib juara Piala AFC 2022 — satu pencapaian yang meletakkan nama City Boys di peta bola sepak Asia.
Sebelum ini, terdapat spekulasi Stanley bakal memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, namun FAM memilih bekas pemain Kanada, Rob Friend untuk posisi itu.

Stanley ketika mewakili Harimau malaya di Piala Aff 2007
Hari ini, Stanley secara rasmi diumumkan sebagai orang nombor dua — peranan yang tetap besar dan strategik dalam memacu kebangkitan skuad kebangsaan ke tahap lebih tinggi.
Dengan gandingan baharu antara Rob Friend dan Stanley Bernard, serta sentuhan teknikal daripada Tan Cheng Hoe sebagai Pengarah Teknikal, era baharu Harimau Malaya semakin jelas terbentuk.
Kini semua mata tertumpu kepada bagaimana gabungan ini bakal menterjemah visi bola sepak negara ke dalam kejayaan di atas padang.